SHAH ALAM, 7 OKT: Hajat Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari untuk meninggal dunia di Mekah tidak kesampaian kerana faktor kesihatan.
Anak sulung Allahyarham yang juga Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa berkata, keluarganya tidak membenarkan Allahyarham kembali ke Mekah kerana faktor kesihatannya yang semakin merosot.
Katanya, Allahyarham turut meminta untuk sujud syukur kerana diberikan usia yang panjang.
“Allahyarham sujud dalam 15 minit, dia minta ampun kepada Allah dan bersyukur umur dia panjang, ada keluarga dan anak yang baik selepas itu dia tidak boleh bercakap.
“Allahyarham berhajat untuk meninggal di sana tetapi kami tidak mengizinkannya. Ramai saudara mara kami di sana. Saya sudah maklumkannya pemergiannya,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham, di sini.
Selain berasa sedih dan terasa kehilangannya, Musa bersyukur kerana Allahyarham pergi dalam keadaan baik.
Sementara itu, Pelakon, Dato’ Jalaluddin yang merupakan anak ketiga Allahyarham menyifatkan kehilangan besar pemergiaan Allahyarham.
Katanya, Allahyarham merupakan seorang ayah yang tegas namun lemah lembut dalam mendidik anak-anaknya.
“Dia sangat tegas lebih lagi dalam hal agama. Solat dan Al-Quran merupakan perkara yang paling dititik-beratkan. Arwah selalu berpesan supaya tidak meninggalkan solat.
“Katanya, rugi jika bekerja kuat tetapi solat kita tinggal, itu yang memberi kesan mendalam kepada diri saya.
“Ketika masih kecil, kami dipukul dengan kain dan disimbah air supaya bangun menunaikan solat,” katanya.
Beliau berkata, ketika mula menjadi insan seni, Allahyarham menentangnya namun, dapat menerimanya sambil berpesan sentiasa menjaga batas dan adab sopan sesama manusia.
Kredit: EZY