Wednesday, March 27, 2019

SIAP SIAGA HADAPI KEMARAU

SIAP SIAGA: Uggah (depan kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Pasca Nilai
Banjir dan Persiapan Menghadapi Kemarau JPBN Sarawak, semalam.
Turut kelihatan, Fatimah (depan kanan). — Gambar Bernama

KUCHING: Sarawak bersiap siaga menghadapi musim kemarau yang dijangka
berlanjutan hingga Mei depan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, semua 
agensi termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) peringkat 
bahagian dan daerah dilengkapi kemudahan logistik dan peruntukan dari segi kewangan.
“Sarawak sekarang mengalami episod El Nino iaitu musim panas. Walaupun 
ia lemah tetapi ia dijangka berlaku dari Mac hingga Mei ini dan kita telah pun 
mula mengalaminya, cuaca kering dan kurang hujan.
“Beberapa tempat, kampung dan rumah panjang kini menghadapi masalah 
kekurangan air bersih,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan 
Mesyuarat Pasca Nilai Bencana Banjir dan Persiapan Menghadapi Kemarau 
JPBN Sarawak di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga 
dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Setiausaha 
Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan 
Wilayah Datu Ik Pahon Joyik.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, bantuan bekalan air mesti 
sampai kepada penduduk terjejas dalam tempoh enam jam selepas Pejabat 
Residen menerima aduan bagi mengelak kesulitan lebih teruk dihadapi mangsa.
Beliau berkata, ia merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan 
bagi menangani masalah bekalan air dihadapi penduduk terjejas kemarau yang 
melanda Sarawak ketika ini.
Selain itu katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak 
telah diberi arahan menentukan bekalan air yang akan diedarkan mencukupi 
sebelum diagihkan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
“Dari segi logistik, kita dilengkapi dengan lima helikopter, dron (lima), 172 lori, 
549 van, 109 ambulans dan 283 bot.
“Bagi penghantaran bekalan air ke tempat-tempat terpencil di pedalaman dan 
pesisir pantai, kalau logistik dari segi kenderaan tidak mencukupi mereka 
(agensi pelaksana) dibenarkan menyewa apa yang ada.
“Pokoknya adalah kita mesti membekalkan air kepada penduduk terjejas secepat 
mungkin kerana air keperluan sangat penting dalam kehidupan kita,” tegasnya.
Selain itu katanya, JBALB telah memulakan usaha mengisi tangki-tangki air 
penduduk terjejas di seluruh Sarawak yang dibekalkan dengan kemudahan itu.
“Keutamaan kita sekarang juga ialah mengisi tangki-tangki air penduduk yang masih 
bergantung kepada sumber air gunung atau altenatif lain. Bagi kawasan yang terpencil 
dan jauh di pedalaman atau pesisir, kita akan cuba guna apa sahaja fasiliti yang ada,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun berkata, ketika ini paras air di empangan-empangan utama di 
seluruh Sarawak masih pada paras normal.
Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata, beberapa insiden kebakaran terbuka 
melibatkan hutan dan belukar dilaporkan berlaku di seluruh Sarawak sejak 
awal Mac 2019, namun kebanyakannya dapat dikawal.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak melakukan kebakaran terbuka 
dan segera melaporkan kejadian itu sekiranya berlaku kepada agensi-agensi 
bertanggungjawab seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 
Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), 
balai polis, pejabat residen dan pejabat daerah di kawasan masing-masing.
“Saya berharap kolaboratif antara semua agensi dengan penduduk setempat 
akan diteruskan dan apa jua isu yang timbul di peringkat akar umbi, mesti 
diselesaikan dengan cepat,” katanya.

Utusan Borneo